Monday, May 17, 2010

Jenis-jenis Perkhidmatan Perpustakaan Desa

Perkhidmatan Pinjaman

Perkhidmatan pinjaman hanya disediakan kepada pengguna perpustakaan yang berdaftar sebagai ahli perpustakaan sahaja. Setiap ahli layak mendapat kemudahan pinjaman buku sebanyak 3 naskah bagi tempoh 3 minggu.


Perkhidmatan Rujukan

Perkhidmatan rujukan merupakan sebahagian perkhidmatan yang menyediakan pelbagai jenis buku rujukan termasuk koleksi kamus, Ensiklopedia, laporan tahunan, tesis, keratan akhbar dan lain-lain bahan meliputi semua bidang perkara.. Segala maklumat yang diperlukan dapat diperolehi dengan tepat, cepat dan terkini khasnya untuk kegunaan orang ramai.


Perkhidmatan Kanak-Kanak

Bahagian Kanak-kanak menyediakan keperluan pembacaan dan pembelajaran kanak-kanak yang berumur di antara 4 hingga 12 tahun. Di antara koleksi di bahagian ini ialah koleksi pinjaman, koleksi rujukan, koleksi majalah, koleksi permainan pembelajaran, perkhidmatan audio-visual dan internet.


Perkhidmatan Akhbar Dan Majalah

Terdapat akhbar dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris disediakan di Bahagian Akhbar & Majalah. Majalah yang disediakan di ruangan ini pula meliputi pelbagai bidang perkara.


Perkhidmatan Sumber Media

Perkhidmatan Sumber Media merupakan media elektronik atau bahan tidak bercetak dalam pelbagai bidang perkara dan format seperti cakera padat, cakera audio, cakera video, cakera video digital dan yang diterbitkan di dalam dan luar negara.


Perkhidmatan Siber

Bahagian Siber menyediakan perkhidmatan Internet bagi penggunaan para pengunjung perpustakaan desa Taman Mas Merah di samping penggunaan komputer, alat pengimbas, pencetak dan sebagainya.


Perkhidmatan Pakejan Maklumat

  • Keratan Akhbar
  • Risalah dan brosur
  • Cetakan Sumber Maklumat dari Internet

Perkhidmatan Pintu Ke Pintu

Perkhidmatan Pintu Ke Pintu merupakan strategi baru Kempen Membaca yang diperkenalkan di kawasan luar bandar khususnya komuniti di sekitar perpustakaan desa yang telah dibina di seluruh negara. Kami akan membuat pemasaran Perkhidmatan Pintu Ke Pintu dengan melawat dari rumah ke rumah penduduk yang berada dalam kawasan liputan perkhidmatan kami untuk mendapatkan maklumat profil serta membuat promosi perkhidmatan perpustakaan desa.

Latar Belakang Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Perpustakaan Negara Malaysia adalah merupakan sebuah Jabatan Persekutuan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Bermula dari bahagian Perpustakaan Negara yang ditubuhkan di bawah Arkib Negara Malaysia pada tahun 1966, Bahagian Perpustakaan Negara terus berkembang sehingga dijadikan sebagai sebahagian daripada Jabatan Arkib dan Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1971. Perpustakaan Negara Malaysia mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai Jabatan Persekutuan melalui Akta Perpustakaan Negara (Akta 1980) yang diluluskan pada 1 September 1972. Ia kemudiannya, dijadikan sebagai sebuah Jabatan Persekutuan bermula pada tahun 1977.


OBJEKTIF PNM

  • Menyediakan bagi penggunaan generasi masa kini dan masa depan suatu koleksi sumber perpustakaan di peringkat kebangsaan
  • Memudahkan penggunaan di seluruh negara sumber perpustakaan yang terdapat di dalam dan di luar negara
  • Mengadakan kepimpinan dalam perkara yang berkaitan dengan perpustakaan
  • Menyediakan piawan dan panduan untuk membangunkan pusat kecemerlangan maklumat bidang khusus
  • Menyediakan pelan tindakan jangka panjang dan pendek untuk mewujudkan rangkaian perpustakaan dan maklumat di Negara ini
  • Mempromosikan pelbagai perkhidmatan perpustakaan termasuk sumber maklumat keluaran Negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Pengenalan Perpustakaan Desa

Perpustakaan desa merupakan satu langkah awal yang diambil oleh Perpustakaan Negara Malaysia dalam usaha pihak kerajaan membangunkan sebuah pusat maklumat yang berorentasikan sumber teknologi maklumat terkini seperti penggunaan Internet dan perkhidmatan mencetak, sumber rujukan dan aktiviti.

Pelbagai aktiviti gerakan membaca telah dilaksanakan dalam usaha memperkenalkan perpustakaan desa kepada seluruh masyarakat setempat. Pihak pengurusan perpustakaan desa yakin dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti berunsur keilmuan, ia mampu menarik minat seluruh masyarakat setempat untuk datang dan menikmati segala kemudahan yang telah disediakan oleh perpustakaan desa. Penggunaan perpustakaan secara berkesan mampu melahirkan masyarakat luar bandar yang berpengetahuan luas dan mampu menjadi bangsa yang berjaya.

Penubuhan perpustakaan desa adalah salah satu usaha kerajaan untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan perpustakaan kepada masyarakat luar bandar.
Melalui cara ini diharap dapat merapatkan jurang ilmu dan digital dikalangan penduduk di luar bandar dan bandar. Disamping itu ianya bertujuan untuk memupuk minat membaca dan mencintai ilmu serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di desa. Projek pembinaan perpustakaan desa ini dibiayai melalui peruntukan khas belanja mengurus Kerajaan Persekutuan tahun 2005 dan 2006. Negeri Melaka telah memperoleh sebanyak 13 buah perpustakaan desa di bawah fasa 1 untuk tahun 2005 dan 13 buah perpustakaan desa di bawah fasa 2 untuk tahun 2006. Perpustakaan Desa dibawah peuntukan khas ini adalah di bawah pentadbiran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan melalui Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM).

Perpustakaan Desa Taman Mas Merah, Batu Berendam merupakan salah satu projek khas Perpustakaan Negara Malaysia tahun 2005 dan mula beroperasi pada bulan Februari 2006 di mana pengguna boleh membaca bahan-bahan yang disediakan di perpustakaan desa tetapi pendaftaran dan peminjaman buku hanya bermula pada 15 Mei 2006.

Bangunan Perpustakaan ini asalnya adalah bilik gerakan bagi Taman Mas Merah, ia terletak berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak dan gelanggang badminton. Oleh yang demikian, majoriti pengunjung perpustakaan ini merupakan golongan kanak-kanak. Golongan belia dan dewasa datang untuk membuat peminjaman sahaja. Walau bagaimanapun, aktiviti promosi dengan mengedarkan risalah dan brosur telah dilakukan di awal pembukaan perpustakaan. Aktiviti promosi seumpama ini terus diadakan setiap masa bagi menyedarkan pengguna tentang kewujudan perpustakaan desa di taman ini.

Perpustakaan memainkan peranan penting sebagai pusat sumber maklumat dan khazanah ilmu yang penting. Ia berperanan untuk membentuk masyarakat berilmu pengetahuan agar dapat mencapai kejayaan dalam pembangunan modal insan. Antara kemudahan yang terdapat di perpustakaan ialah pinjaman pelbagai jenis buku, buku rujukan, surat khabar dan majalah meliputi pelbagai aspek kehidupan, permainan yang menguji minda seperti Saidina, Sahibba, congkak, dam dan lain-lain, kemudahan belajar secara berkumpulan, aktiviti galakan membaca dimana pengunjung berpeluang memenangi hadiah yang disediakan.


Pelbagai aktiviti yang diadakan untuk menarik perhatian kanak-kanak supaya mereka tidak jemu untuk hadir ke perpustakaan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan mewarna, pertandingan melukis, mencari benda tersembunyi, membina perkataan, bercerita, membuat kad ucapan, bermain dam, congkak dan lain-lain.



OBJEKTIF PERPUSTAKAAN DESA

  • Menyediakan sumber maklumat dalam pelbagai bentuk media dan perkhidmatan perpustakaan bagi memenuhi keperluan ahli masyarakat.
  • Memberi akses kepada pelbagai bentuk ilmu dan maklumat kepada semua lapisan masyarakat dalam aspek pembelajaran, pembangunan diri, kemajuan sosial dan ekonomi masyarakat.
  • Memanfaatkan masyarakat setempat dan dapat menggalakkan budaya membaca serta menangani jurang ilmu dan digital di kalangan masyarakat.
  • Menggalakkan penyebaran maklumat kepada masyarakat.
  • Berperanan sebagai satu tempat perjumpaan orang ramai untuk aktiviti sosial ke arah mengukuhkan perpaduan di kalangan ahli masyarakat.
  • Menyokong pembangunan kebudayaan dan kesenian tempatan ke arah mengukuhkan perpaduan di kalangan ahli masyarakat.