SEBELUM MEMBELI TELEFON PINTAR, ANDA MESTI MEMILIKI BEBERAPA PENGETAHUAN ASAS UNTUK MENGELAKKAN PEMBELIAN ANDA DISIFATKAN SEBAGAI PEMBELIAN YANG KURANG BIJAK
Tiga perkara penting ini ialah asas pada sebuah peranti telefon pintar kenvensional. Semak dan catat beberapa maklumat penting bagi mengelakkan pembelian yang tidak sepadan dengan nilai yang dibayar.
1. KIRA-KIRA BAJET
Setiap orang memiliki bajet sendiri. Sama ada untuk memiliki telefon pintar bajet rendah, sederhana ataupun tinggi. Tetapi, meskipun anda mempunyai bajet sekitar RM 1000 hingga RM 1500 yang boleh dikategorikan sebagai sederhana, anda masih boleh membuat pilihan telefon pintar yang memiliki spesifikasi tinggi.
2. PILIH SISTEM OPERASI (OS)
Faktanya, telefon pintar dengan OS yang paling popular merupakan telefon pintar yang seringkali menjadi pilihan pengguna, tanpa melihat kepada keperluan dan kehendak seharian. Adalah lebih baik untuk anda melihat dulu fungsi dan kebolehan semua OS yang utama di pasaran.
ANDROID
Dibangunkan oleh Google, OS berkonsepkan sumber terbuka(open source) yang digunakan pada majoriti telefon pintar sekarang ini. Beberapa pengeluar telefon pintar berasaskan Android ini seperti Samsung dan HTC banyak mengubah reka bentuk dan fungsi pada peranti mereka bagi menampilkan kelainan dan versatil berbanding pengeluar lain.
Pro : Banyak pilihan peranti/perkakasan/aplikasi, stabil dan inovasi yang pantas.
Kontra : Sesetengah model tiada/lambat kemaskini serta ambil masa untuk tetapan, belajar dan selenggara.
IOS
OS daripada Apple Inc ini digunakan pada semua peranti keluarannya termasuklah iPhone, iPaddan iPod. Batasan ini menyaksikan penggunanya sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan, kemaskini dan keupayaannya bekerja. Merupakan platform OS yang sangat stabil dan mesra, ia kekal dengan identitinya yang agak sederhana dan mudah tanpa inovasi yang terlalu melampau. Meskipun tidak kena dengan perkembangan teknologi dalam industri mudah alih yang semakin pesat, OS ini ada kekuatan yang tersendiri.
Pro : Pilihan aplikasi yang banyak, eksklusif, dan mudah digunakan.
Kontra : Agak kurang mesra pengguna dan inovasi yang statik.
WINDOWS PHONE
Kemunculan Windows Phone 8 benar-benar memberikan nafas baru kepada OS ini. Beberapa pengeluar seperti Nokia yang serius dengan peranti-peranti yang berprestasi tinggi dan mamp milik, menjadikan perkembangan OS ini meningkat mendadak. Berteraskan antara muka metro seperti pada Windows 8, ia sangat mesra pengguna meskipun kekurangan tetapan menyeluruh pada peranti.
Pro : Lebih pengalaman integrasi aplikasi dan lancar dengan Xbox Music, Office serta SkyDrive.
Kontra : Katalog aplikasi serta komuniti pengguna yang masih terhad.
BLACKBERRY 10
Penjenamaan OS ini dilihat memberikan persaingan sengit dalam industri mudah alih. Blackberry 10 dengan peranti khusus untuknya menampilkan ciri-ciri yang sangat mesra pengguna terutamanya dalam industri korporat. Sangat multi tugas, Blackberry 10 turut mengalami peningkatan mendadak daripada segi koleksi aplikasi untuk pengguna.
Pro : Mesra pengguna dan fleksibel.
Kontra : Masih belum stabli sepenuhnya dan pengguna yang masih terhad.
3. CIRI & FUNGSI PERANTI CIP
PEMPROSESAN
Anda disyorkan untukmemilih peranti dengan cip pemprosesan sekurang-kurangnya dua teras (core) kerana menawarkan jangka hayat yang lebih lama berbanding CPU teras tunggal. Buat masa sekarang, anda perlu ingat kerana anda sedang memilih untuk membeli PC yang kecil. Jika ada pilihan, terus pergi kepada peranti dua teras atau empat teras.
SAIZ
Keselesaan saiz peranti amat penting bagi pengguna. sama ada untuk diletakkan dalam poket, beg tangan ataupun dalam genggaman tangan. Cuba sendiri dan rasai pengalaman sebelum membuat pilihan.
BATERI
Lihat keupayaan bateri peranti terlebih dahulu. Kebanyakan peranti kini memiliki kapasiti bateri yang besar tetapi tetap tidak tahan lama kerana tidak sepadan dengan tugasan pada peranti. Jadi, tanya jurujual berkenaan sehingga anda berpuas hati.
SKRIN
Anda perlu memilih sama ada skrin dengan teknologi AMOLED atau LCD kerana masing-masing ada kelebihan yang tersendiri. Tetapi, anda perlu memberikan perhatian terhadap resolusi skrin tersebut dengan sekurang-kurangnya memiliki skrin 800X480 piksel untuk pengalaman yang selesa. Untuk lebih baik, pilih peranti dengan skrin 720p atau resolusi 1280X720 piksel. Janagn terlalu terikat dengan istilah daripada pengeluar termasuklah retina dan sebagainya.
KAMERA
Setelah membuat pilihan, cuba tangkap beberapa gambar dengan peranti tersebut. Lihat kualiti gambar yang dihasilkan sendiri berbanding mendengar pandangan jurujual. Meskipun memiliki piksel yang besar (sekurang-kurangnya 8 MP), kualiti gambar terhasil sentiasa berlainan. Buat masa sekarang, teknologi peranti HTC, Samsung, Nokia dan Apple adalah yang terbaik.
KEMASKINI OS
Anda perlu peka dengan kemaskini OS pada peranti yang ingin dibeli. Pastikan kemaskini OS adalah yang terkini terutamanya melibatkan perubahan ciri dan fungsi yang kecil, namun masih boleh memberi impak terhadap prestasi keseluruhan peranti anda.
Sumber : Majalah PC
0 comments:
Post a Comment